Penubuhan EAC bukti kerajaan pandang serius masalah ekonomi

KUALA LUMPUR: Cabaran ekonomi termasuk kejatuhan harga minyak, pengangguran, COVID-19 dan sektor penting seperti pelancongan yang terjejas teruk, akan menjadi perhatian utama Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) untuk ditangani dengan segera.

Sehubungan itu Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata sehubungan itu beliau amat mengalu-alukan langkah Perdana Menteri menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang akan dipengerusikannya sendiri pada setiap Isnin.

“Penubuhan EAC ini menunjukkan betapa seriusnya Perdana Menteri dan kerajaan memandang masalah yang sedang dihadapi negara ketika ini.

“Keutamaan kedua saya di kementerian baharu ini ialah untuk menyiapkan penyediaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMke-12) yang telah dimulakan oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini (di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi atau MEA),” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan tugas oleh Mohamed Azmin kepada beliau di Putrajaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mustapa berkata, beliau mengucapkan setinggi penghargaan kepada Mohamed Azmin dan Dr Mohd Radzi Md Jidin kerana telah melatakkan asas yang kukuh di MEA yang ditubuhkan selepas penubuhan kerajaan baharu pada 10 Mei 2018.

“Dengan ketokohan beliau (Mohamed Azmin), menjadikan kerja-kerja saya lebih mudah dan tugas di hadapan cukup mencabar, tapi kami bersyukur kerana bekas menteri (kini) adalah menteri kanan, dan tanggungjawab termasuklah dalam Unit Perancang Ekonomi (EPU).

“Kita ada dua menteri kanan termasuk Dr Radzi yang cukup faham mengenai hal-hal berkaitan ekonomi dan dasar Wawasan Kemakmuran Bersama, maka kita berharap akan terus mendapat sokongan daripada mereka berdua.

“Jadi saya berasa cukup bertuah kerana dapat mewarisi satu organisasi yang cukup mantap dan kita sudah bersedia untuk bertugas,” katanya.

Mustapa dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) yang akan menggantikan MEA yang sebelum ini disandang oleh Mohamed Azmin.

Sumber : Berita Harian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *