Kerajaan tubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi

PUTRAJAYA: Kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) sebagai langkah segera untuk menangani cabaran ekonomi negara yang tidak menentu berikutan penurunan harga minyak dan impak COVID-19 yang sudah berlarutan beberapa minggu.

EAC yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bersidang setiap Isnin dan mesyuarat pertamanya akan berlangsung 16 Mac ini.

Muhyiddin berkata, majlis berkenaan akan dianggotai Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ahli lain EAC termasuk Gabenor Bank Negara dan beberapa individu yang mahir dalam pelbagai bidang.

“Jemaah Menteri sedar situasi negara tidak baik terutama dalam soal ekonomi yang meruncing (susulan) harga minyak yang jatuh pada paras AS$30 setong, turun 31 peratus tentunya akan menyebabkan kesan tambahan kepada sumber dana kerajaan.

“Dibebankan lagi dengan masalah COVID-19 yang sudah berlarutan selama beberapa minggu yang (mana) impak kepada negara amat besar terutama dalam soal ekonomi. Sebab itu, Jemaah Menteri putuskan supaya kita wujudkan Majlis Tindakan Ekonomi yang saya akan pengerusikan.

“Majlis ini akan bersidang setiap minggu dengan mesyuarat pertamanya pada Isnin minggu depan. Apa keputusan di EAC akan dibawa ke Jemaah Menteri sekiranya perlu untuk mendapatkan keputusan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet pertama di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, satu sekretariat bersama antara Kementerian Kewangan dan portfolio yang menjaga ekonomi di bawah Mustapa juga sudah diwujudkan dengan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) menjadi tanggungjawabnya.

Katanya, perkara berkenaan yang diputuskan hari ini manakala kerajaan akan bersidang dan meminta pihak berkepentingan untuk mengemukakan apa saja perkara menerusi kementerian untuk dimaklumkan kepada EAC bagi mencari penyelesaian.

Beliau berkata, ia antara lain untuk menentukan kumpulan yang paling berdepan masalah atau golongan B40, yang berasa beban kos sara hidup.

“Ini adalah satu tindakan segera yang kita ambil untuk tunjukkan kepada negara bahawa kita tidak akan berlengah lagi.

“Di samping itu kita bersetuju bahawa Pakej Rangsangan yang diumumkan kerajaan dulu dibentangkan semula selepas kita teliti semula sama ada jumlah yang diumumkan itu boleh ditambah lagi.

“Ini diserahkan kepada Menteri Kewangan (untuk mencari) bagaimana caranya, terutama untuk menentukan kumpulan sasar yang perlu mendapat faedah daripada Pakej Rangsangan Ekonomi itu dapat kita berikan tumpuan selain langkah umum untuk memberikan keyakinan kepada pelabur, kumpulan tertentu mendapat perhatian utama,” katanya.

Muhyiddin berkata, ia berkemungkinan dilancarkan dalam tempoh seminggu dua lagi.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *